1. Sedia untuk diajar:
Iaitu membuka hati dan fikiran dan rela menerima
tunjuk ajar mengenai perniagaan MLM. Orang yang
menganggap diri serba tahu sebenarnya orang yang
sedang menempa kegagalan.
2. Terus belajar:
Anda terus mempelajari segala aspek ilmu pengetahuan,
khasnya perniagaan MLM. Terus belajar jika tidak
mahu tertinggal di belakang.
3. Mengajar:
Apa yang telah anda pelajari hendaklah disampaikan
kepada tajaan-tajaan anda. Mereka juga menjalani
proses yang sama iaitu – Sedia untuk diajar, terus
belajar dan mengajar.
BUKAN UNTUK CEPAT KAYA
Walaupun sudah berkali-kali orang menyebut, “Tidak
ada jalan singkat untuk cepat kaya,” namun masih
ramai yang mencari-cari jalan untuk menjadi kaya
dengan cepat. Ada juga yang menganggap MLM adalah
jalan untuk cepat kaya. Ini juga halangan yang besar
kerana boleh menyebabkan kekecewaan bila mendapati
MLM bukanlah jalan untuk cepat kaya.
Benar, ramai yang mengatakan, “Jika mahu kaya,
berniagalah.” Tetapi tidak ada orang yang menyebut,
“Jika mahu cepat kaya, berniagalah.” Perniagaan MLM
adalah perniagaan yang boleh mendatangkan kekayaan
tetapi tidak dalam masa yang singkat.
Seperti perniagaan lain, membina kejayaan perniagaan
MLM anda adalah seperti membina bangunan.
Dimulakan dengan asas yang kukuh kemudian mula
membina setingkat demi setingkat. Asas yang kukuh itu
ialah diri anda sendiri (sikap dan cara berfikir). Sesudah
anda mempunyai sikap yang bersesuaian, barulah anda
boleh membina kumpulan anda sendiri. Kumpulan anda
itu adalah asas perniagaan anda. Oleh kerana ia adalah
asas atau tunggak, maka sudah tentulah kumpulan
anda mestilah kumpulan yang kuat, teguh dan sentiasa
aktif berniaga.
Pelan pemasaran di dalam MLM memang telah
direka begitu, iaitu anda berjaya setingkat demi
setingkat, bukan sekaligus. Mula-mula anda mendaftar
kemudian menjadi pengguna produk yang setia. Hanya
anda seorang yang berniaga. Selepas itu memperkenalkan
produk kepada kawan anda dan seterusnya
memperkenalkan perniagaan MLM kepada kawan anda
yang telah menjadi pengguna dan mempercayai produk.
Begitulah seterusnya, seorang demi seorang diperkenalkan
kepada produk dan perniagaan MLM; setingkat
demi setingkat anda membina perniagaan MLM hingga
anda berjaya membina kumpulan yang kukuh. Lebih
tepat lagi, anda telah menjadi kontraktor binaan yang
bebas menentukan sendiri besar dan ketinggian
bangunan anda, tanpa memerlukan kelulusan dari
mana-mana pihak.
Anda boleh menaja seberapa ramai orang yang
boleh, tidak ada yang melarang. Tetapi mengikut kajian
pada masa lalu, orang yang tiba-tiba menaja seberapa
ramai orang sebenarnya orang itu tidak faham benar
dengan konsep perniagaan MLM. Mereka beranggapan
dengan menaja ramai begitu, tajaan-tajaan akan bekerja
untuknya dan dia hanya duduk goyang kaki sambil
menikmati kejayaan. Tidak ada kejayaan yang di
nikmati, melainkan kekecewaan.
Sudah menjadi lumrah, sesuatu yang kukuh itu
dilakukan sedikit demi sedikit, tidak sekaligus. Tidak
ada gunanya mempunyai tajaan yang ramai tetapi
hanya duduk-duduk, tidak aktif berniaga. Biar tajaan
anda sedikit tetapi kuat, teguh, bersatu hati dan yang
penting aktif berniaga seterusnya membina kumpulan
sendiri.
Hanya setelah anda mempunyai asas/kumpulan
yang aktif, barulah masa depan anda mula terserlah.
Sesuai benar dengan konsep perniagaan MLM iaitu
perniagaan jangka panjang. Oleh kerana ia perniagaan
jangka panjang, maka anda sama sekali tidak mengharapkan
keuntungan yang segera dan cepat. Hasil
usaha dan titik peluh anda akan terbayar juga akhirnya,
tetapi bukan sekarang. Sama seperti peneroka yang
terpaksa menebang, menebas, menanam dan menjaga
tanaman. Hasilnya akan dituai setelah tanaman
mengeluarkan hasil.
Apakah yang anda perolehi sesuai dengan usaha
anda? Sehubungan dengan itu ada orang yang mengatakan,
“Berniaga MLM ini seperti menulis surat. Makin
banyak yang kita tulis dan poskan, banyaklah balasan
surat yang kita terima. Jika kita jarang atau tidak
pernah menulis dan mengeposkan surat, jaranglah atau
tidak ada langsung surat yang kita terima.”